Ahad, 18 Julai 2010

muhasabah CINTA buat saya, kamu, KITA bersama...

AlhamduliLLah….bersyukur masih dikurniakan kehidupan oleh Allah…jantung masih lagi menjalankan tugas mengepam darah…diriku masih lagi dapat bernafas, gas oksigen dan karbon dioksida keluar masuk silih berganti…tiada sekatan…tiada bayaran…PERCUMA…kurniaan Allah Yang Maha Pemurah. Jari-jemari juga diberi keizinan Allah untuk mengisi ruang blog yang masih bersisa, masih lagi di peringkat permulaan. Dalam ketandusan idea datang ilham utuk dikongsi agar bersama-sama kita mendapat manfaat dan istifadah.

Khamis malam jumaat 15 Julai 2010. AlhamduliLLAh, seusai solat maghrib di surau di Kompleks Perumahan Terengganu, Hayyu A3syier saya berkesempatan mengikuti satu majlis diskusi kitab. Terasa amat rugi jika saya terus pulang ke rumah dan meninggalkan taman syurga itu, lebih-lebih lagi kitab yang didiskusikan pada malam itu kitab karangan Syeikhul Islam, Dr Yusof Qaradhawi hafizohuLLah, الصحوة الإسلامية من المراهقة إلى الرشد dan pendiskusinya pula bukan sebarangan orang, Ustaz Abdul Muizz Bin Muhammad (mantan Presiden PMRAM). Saya kira gabungan kedua-dua unsur di atas menyebabkan kaki saya berat untuk melangkah pulang.

Saya tertarik dengan cara penyampaian Ustaz Muizz sekaligus saya meletakkan title kepada beliau sebagai pemidato yang berjaya kerana saya dapat merasai beliau telah menguasai audience pada malam tersebut. Penerangan yang mudah difahami, mantap dan bernas serta contoh yang digunakan amat menarik sekali. Antara contoh mudah yang beliau gunakan ialah bertemakan CINTA. Beliau memang pandai memenangi hati audience yang rata-ratanya mahasiswa dan mahasiswi yang diri mereka berstatus bujang, belum berkahwin, dan jiwa memang kena dengan perkataan CINTA.
Firman Allah SWT yang bermaksud:

“ sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, bertambah kuat imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal,”

Surah Al-Anfal ayat ke-2

Pendiskusi memberi pemahaman ayat di atas dengan menggunakan tema CINTA. Saya hanya menaqalkan kata-kata Ustaz Muizz yang maksudnya lebih kurang macam ni:

“ orang yang bercinta ni, bile disebut je name buah hati mereka, atau orang yang mereka sayang , tak semena-menanya degupan jantung yang normal berubah kencang, rase gementar. Namun perasaan ini bukannya menandakan orang tu takut kepada pasangannye tetapi ianya merupakan rasa sayang, cinta dan rindu."

"Begitulah juga dengan orang-orang yang beriman dalam ayat di atas. Bukanlah mereka takut kepada Allah Ta3ala tatkala dibacakan kepada mereka ayat-ayat cinta Allah itu, bahkan degupan jantung menjadi kencang dan rasa berdebar itu wujud lantaran rindu kepada penciptanya, sebagaimana seorang kekasih rindu kepada pasangannya.”


Banyak lagi ulasan-ulasan mantap yang pendiskusi berikan, namun dengan kelemahan yang ada, ini sahaja yang mampu saya kongsi. Terasa diri ini kerdil dan lemah kerana tidak mampu untuk mengecapi rasa seorang kekasih yang rindukan buah hatinya ketikamana mengalunkan bacaan Al-quran Al-Karim. Oh, jauhnya diri ini dari-Mu. Ya Allah, jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang hampir dengan-Mu.

LAU KAANA BAINANA EL-HABIB…IF HE (THE PROPHET MUHAMMAD PBUH) WERE AMONG US…

Sebenarnya, untuk post kali ini saya ingin berkongsi tentang CINTA seorang wanita terhadap Baginda SAW. Tapi saya merasakan tak salah kalau berkongsi ilmu yang saya peroleh pada malam diskusi tempoh hari, kerana temanya sama iaitu CINTA. Cinta Allah dan Rasul. Bukan cinta antara lelaki dan wanita tanpa ikatan sah yang berlandaskan nafsu semata-mata.

Hati saya terkesan setelah menonton video klip di bawah. Rasa sebak menyelubungi hati. Muhasabah sebentar. Terasa terpukul kerana diri ini jauh benar untuk menitiskan air mata, menggugurkan manik-manik jernih seikhlas mungkin tatkala ditanya “apa yang awak akan lakukan jika diberi peluang untuk bersama Baginda SAW walau seminit..?”

Anda semua perlu saksikan video klip ini…








Rancangan ‘Lau Kaana Bainana El-habib’ ini merupakan rancangan dari tanah arab, saya tak berapa pasti negara mana, namun jika dilihat kepada persekitaran dan dialek bahasa nampak gaya macam di Mesir. Ianya mula disiarkan sekitar April 2009. Rancangan ini untuk mengingatkan kita tentang khuluq nabawi iaitu akhlak junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Bukannya semata-mata untuk mengembalikan kita kepada sejarah silam kegemilangan Islam iaitu 1400 tahun yang lalu tetapi apa yang dimahukan adalah untuk merasakan seperti Rasululullah SAW ini hidup bersama-sama kita semua pada alaf 21 ini.

Setiap show akan disertai satu hadith RasuliLLah SAW dan mereka akan mencubanya di satu tempat untuk melihat adakah orang mempraktikkannya. Hos program ini akan bergerak kepada orang ke orang, dan bertanya berkenaan perlaksanaan hadith tadi. Di akhir soalannya, dia akan bertanya:“Lau kana Rasulullah SAW bainana al an, keif?” Kalau lah RasuluLLah SAW itu berada di antara kita sekarang, bagaimana?
Apabila didatangkan soalan itu, paling kurang akan terjeda, senyap sebentar, tak mampu untuk berkata-kata, seakan-akan ada suatu perkara besar yang berlaku. Begitu mereka merasakan kewujudan RasuliLLah tatkala ditanya soalan tersebut, mereka ada rasa segan dan malu terhadap RasuliLLah SAW.

Rancangan ini menyebabkan muka saya merah padam menahan malu. Pertama, saya malu kerana tak mampu untuk mencontohi musimah dalam video di atas. Kedua, saya malu kerana di Malaysia, tanah tumpahnya darahku, siaran televisyen hanya dipenuhi dengan hiburan yang melampau-lampau, artis jadi pujaan dan tidak berfaedah, malah menambahkan lagi kedunguan masyarakat kita dengan rancangan lawak yang mengarut seperti Raja Lawak, Bang Bang Boom, Jangan Tidur Lagi, Gelak Khas, Spontan dan macam-macam lagi. Rancangan berfaedah dan bersifat keagamaan memang ada, tetapi peratusan yang kecil menyebabkannya tenggelam dalam gelombang hiburan yang menggila dan penyiarannya seolah-olah tidak wujud kerana disiarkan pada masa yang tak sesuai.

Berhibur memang tiada salahnya, tapi kalau pagi petang, siang malam semuanya hiburan, maka lahirlah masyarakat yang lalai dan alpa untuk mengingati Allah dan Rasul-Nya. Bila hati dah lalai, nak buat ibadat terasa berat dan malas apatah lagi hendak patuh kepada syariat dan hukum Allah A3zza Wajalla...Di manakah bukti CINTA kita kepada Allah dan Rasul-Nya...?? saya harap post kali ini membuatkan kita berfikir sejenak...muhasabah diri... muhasabah CINTA buat saya, kamu, KITA bersama...

p/s:segala kekurangan datangnya dari diri ini...
maaf jika terkasar bahasa dan segala kekurangan

Ahad, 11 Julai 2010

Mengapa saya mulakan dengan basmalah..??

“Mungkin admin blog ni minat seni khat kot…”

“Nak bagi blog dia nampak lebih islamik agaknye…islamic style la katekan…”

“Alah, biasalah tu. Beliau tiru rakan-rakan blogger yang lain, bukan susah pon…”

Saya tak pasti samada dialog-dialog di atas akan muncul atau tidak setelah anda semua membaca post pertama saya namun, yang pastinya sengaja saya wujudkan dialog-dialog sinis tersebut kerana timbul di benak fikiran,

“kenapa mesti saya mulakan dengan basmalah ye…?”

AlhamduliLLah, Allah Ta3ala yang Maha Bijaksana telah mengurniakan secebis ilham agar saya memulakan langkah pertama sebagai blogger dengan menulis kalimah BismiLLah di permulaan post saya, kalimah mulia yang terkandung dalamnya nama Allah, Rabb yang menciptakan segala-galanya.

Firman Allah A3zza Wajalla dalam kitabNya yang bermaksud:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan Yang (membuktikan kebenaran) apa Yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang Yang benar"

(surah Al-Baqarah ayat 111)

Teringat kata-kata senior saya, Ust.Kamal Hafizullah bin Sidek merangkap naqib usrah ketika saya berada di teratak SMA(A)SZA suatu masa dahulu, selalu berpesan agar sentiasa mengemukakan dalil (Al-quran dan sunnah) atau bukti bagi setiap perkara yang kita lakukan lebih-lebih lagi dalam perkara ibadah supaya terbit rasa yakin dalam diri bahawasanya kita berada dalam kebenaran bukanlah taklid semata-mata sekaligus menghilangkan keraguan. Maka, di sini ingin saya nyatakan dalil penulisan basmalah di permulaan blog ini.

Penulis Matan Jauharah Tauhid, Imam Al-Laqqoni telah memulakan kitabnya dengan basmalah kerana beramal sabda Baginda RasuluLLah SAW yang berbunyi:

" كل أمر ذي بال لا يبدأ فيه بسم الله الرحمن الرحيم فهو أبتر أو اخذم أو اقطع"


Ertinya: Setiap perkara yang penting (bermanfaat) yang tidak dimulakan dengan بسم الله الرحمن الرحيم maka perkara tersebut akan terputus dari keberkatan.

Berdasarkan hadis Baginda SAW di atas, saya berharap penulisan dalam blog ini akan mendapat keberkatan dari Allah SWT yang mana penulis dan pembacanya mendapat faedah dan manfaat di dunia dan di akhirat.

Terlanjur menyebut nama Imam Al-Laqqoni, sukalah saya menceritakan serba sedikit tentang diri beliau. Bagi saya perlulah kita mengenali seseorang itu kerana ianya sesuatu yang pelik jika kita bercakap tentang seseorang yang tidak kita kenali malah menaqalkan dan menggunakan kata-kata dan prinsip orang tersebut. As-Syeikh Ibrahim Al-Laqqoni nama penuhnya ialah Ibrahim bin Ibrahim bin Hasan bin Ali Abu Al-imdaad. Beliau berasal dari Mesir dari sebuah perkampungan yang bernama Laqqanah. Beliau mempunyai ramai anak murid yang menjadi para ulama’ terbilang.

Semasa hayatnya beliau sempat mengarang beberapa buah karangan yang menjadi tumpuan masyarakat islam di sepanjang zaman dan diantara karangan tersebut ialah Matan Jauharah Tauhid. Melalui penulisan kitab ini dapat kita lihat keberkatan dari penulisan beliau kerana mengambil masa selama satu malam sahaja untuk menyiapkan kitabnya ini. Malah hasil dari kitab ini muncul pula syarah-syarah matan bertujuan untuk memahamkan isi kandungan matan tersebut dengan lebih terperinci. Di antara mereka yang mensyarahkan matan tersebut ialah Syeikh Al-Baijuri As-Shafie dan As-Sowi Al-Maliki.
Syeikh Al-Baijuri pula dalam syarahnya menyatakan dalil memulakan setiap pekerjaan dengan basmalah berdasarkan dalil Al-Quran Al-Karim di mana firman Allah SWT yang bermaksud:

“bacalah(wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk ”


Ayat di atas merupakan ayat pertama dalam surah al-Alaq yang merupakan wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui malaikat Jibril A.S di gua Hira’. Berdasarkan ayat di atas, ianya dalil yang jelas menunjukkan kepada kita bahawasanya setiap amal dan pekerjaan itu hendaklah dimulakan dengan nama Allah iaitu lafaz BismiLLah.

Berbicara tentang lafaz BismiLLah pula, ia sebenarnya berkait rapat dengan perbuatan lidah kita namun dalam masa yang sama jika kita hayati dengan baik makna lafaz ini ianya turut menjadi perbuatan bagi hati kita iaitu NIAT. Maka, apabila kita memulakan kerja kita dengan BismiLLah sekaligus melahirkan niat suci kita kepada Allah SWT dan moga-moga ianya dikira ibadat di sisi Allah walaupun pekerjaan yang kita lakukan itu bukanlah ibadat.

Pemisah antara perkara adat dan ibadat adalah niat. Sebagai contoh mudah bersukan . Bersukan bukanlah perkara ibadat tetapi tatkala lidah melafazkan BismiLLah seiring dengan niat di hati untuk beribadat kepada Allah, insyaAllah diterima di sisi Allah. Betapa pemurahnya Allah kepada hamba-hambanya namun kita seringkali lalai dan lupa. Makan kita, minum kita, tidur kita, perbuatan seharian kita seringkali jauh untuk mengingati Allah. Marilah kita sama-sama menghayati doa Iftitah yang kita lafazkan di permulaan solat yang kita tunaikan sehari semalam, ingat kembali janji kita kepadaNya, kembali sedar akan taklifan (tanggungjawab) kita di muka bumi yang fana ini. Firman Allah SWT yang bermaksud:


“ dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
(surah Adz-Dzaariyaat ayat 56)






WaLLahu Ta3ala A3lam Bissowab…

p/s: jikalau terdapat kesalahan sila komen
teguran yang membina saya terima dengan hati yang terbuka
susah nak letak ayat al-quran dalam blog, ade sesape yang pandai tak??

Rabu, 7 Julai 2010

ku mulakan dengan BismiLLah....


AlhamduliLLah, segala puji-pujian hanyalah milik Allah S.W.T, dan tidak lupa juga selawat dan salam ke atas junjungan besar RasuliLLah S.A.W, penghulu bagi sekalian manusia dan para nabi, dan kepada ahli keluarga dan para sahabat Baginda S.A.W.

Syukur ke hadrat Ilahi dengan inayah, nikmat masa dan sedikit kudrat kurniaanNya kepada diriku untuk memulakan langkah pertama sebagai blogger yang sekian lama bermain-main di kotak fikiran. Masakan tidak, seringkali ditanya dan dipujuk oleh sahabat yang begitu mengambil berat akan diri ini. Sebenarnya saya agak keberatan untuk membuat blog, namun malas bukanlah punca utama. Ini kerana saya mengukur baju di badan sendiri, dengan ilmu yang cetek serta kemahiran menulis yang tidak seberapa ini bimbang-bimbang blog yang dibuat akan terbengkalai di tengah-tengah pembikinannya. Saya juga bimbang jikalau tiada pengisian ilmiah yang mampu memberi manfaat kepada pengunjung blog ini.

Namun setelah difikir dari sudut positif, apa salahnya mencuba kerana orang yang gagal adalah mereka yang gagal mencuba.Ya! mencuba adalah yang terbaik. Apatah lagi mencuba perkara yang dapat memberi manfaat kepada diri kita sendiri dan muslim yang lain.

Moga-moga post yang berjaya saya nukilkan ini menjadi titik tolak bagi saya untuk menghasilkan post-post yang seterusnya dengan bantuan sahabat-sahabat sekalian yang lebih arif dalam arena penulisan blog. Sebarang teguran dan kritikan membina saya terima dengan hati terbuka. Sekian, assalamua3laikum w.b.t