Ahad, 11 Julai 2010

Mengapa saya mulakan dengan basmalah..??

“Mungkin admin blog ni minat seni khat kot…”

“Nak bagi blog dia nampak lebih islamik agaknye…islamic style la katekan…”

“Alah, biasalah tu. Beliau tiru rakan-rakan blogger yang lain, bukan susah pon…”

Saya tak pasti samada dialog-dialog di atas akan muncul atau tidak setelah anda semua membaca post pertama saya namun, yang pastinya sengaja saya wujudkan dialog-dialog sinis tersebut kerana timbul di benak fikiran,

“kenapa mesti saya mulakan dengan basmalah ye…?”

AlhamduliLLah, Allah Ta3ala yang Maha Bijaksana telah mengurniakan secebis ilham agar saya memulakan langkah pertama sebagai blogger dengan menulis kalimah BismiLLah di permulaan post saya, kalimah mulia yang terkandung dalamnya nama Allah, Rabb yang menciptakan segala-galanya.

Firman Allah A3zza Wajalla dalam kitabNya yang bermaksud:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan Yang (membuktikan kebenaran) apa Yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang Yang benar"

(surah Al-Baqarah ayat 111)

Teringat kata-kata senior saya, Ust.Kamal Hafizullah bin Sidek merangkap naqib usrah ketika saya berada di teratak SMA(A)SZA suatu masa dahulu, selalu berpesan agar sentiasa mengemukakan dalil (Al-quran dan sunnah) atau bukti bagi setiap perkara yang kita lakukan lebih-lebih lagi dalam perkara ibadah supaya terbit rasa yakin dalam diri bahawasanya kita berada dalam kebenaran bukanlah taklid semata-mata sekaligus menghilangkan keraguan. Maka, di sini ingin saya nyatakan dalil penulisan basmalah di permulaan blog ini.

Penulis Matan Jauharah Tauhid, Imam Al-Laqqoni telah memulakan kitabnya dengan basmalah kerana beramal sabda Baginda RasuluLLah SAW yang berbunyi:

" كل أمر ذي بال لا يبدأ فيه بسم الله الرحمن الرحيم فهو أبتر أو اخذم أو اقطع"


Ertinya: Setiap perkara yang penting (bermanfaat) yang tidak dimulakan dengan بسم الله الرحمن الرحيم maka perkara tersebut akan terputus dari keberkatan.

Berdasarkan hadis Baginda SAW di atas, saya berharap penulisan dalam blog ini akan mendapat keberkatan dari Allah SWT yang mana penulis dan pembacanya mendapat faedah dan manfaat di dunia dan di akhirat.

Terlanjur menyebut nama Imam Al-Laqqoni, sukalah saya menceritakan serba sedikit tentang diri beliau. Bagi saya perlulah kita mengenali seseorang itu kerana ianya sesuatu yang pelik jika kita bercakap tentang seseorang yang tidak kita kenali malah menaqalkan dan menggunakan kata-kata dan prinsip orang tersebut. As-Syeikh Ibrahim Al-Laqqoni nama penuhnya ialah Ibrahim bin Ibrahim bin Hasan bin Ali Abu Al-imdaad. Beliau berasal dari Mesir dari sebuah perkampungan yang bernama Laqqanah. Beliau mempunyai ramai anak murid yang menjadi para ulama’ terbilang.

Semasa hayatnya beliau sempat mengarang beberapa buah karangan yang menjadi tumpuan masyarakat islam di sepanjang zaman dan diantara karangan tersebut ialah Matan Jauharah Tauhid. Melalui penulisan kitab ini dapat kita lihat keberkatan dari penulisan beliau kerana mengambil masa selama satu malam sahaja untuk menyiapkan kitabnya ini. Malah hasil dari kitab ini muncul pula syarah-syarah matan bertujuan untuk memahamkan isi kandungan matan tersebut dengan lebih terperinci. Di antara mereka yang mensyarahkan matan tersebut ialah Syeikh Al-Baijuri As-Shafie dan As-Sowi Al-Maliki.
Syeikh Al-Baijuri pula dalam syarahnya menyatakan dalil memulakan setiap pekerjaan dengan basmalah berdasarkan dalil Al-Quran Al-Karim di mana firman Allah SWT yang bermaksud:

“bacalah(wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk ”


Ayat di atas merupakan ayat pertama dalam surah al-Alaq yang merupakan wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui malaikat Jibril A.S di gua Hira’. Berdasarkan ayat di atas, ianya dalil yang jelas menunjukkan kepada kita bahawasanya setiap amal dan pekerjaan itu hendaklah dimulakan dengan nama Allah iaitu lafaz BismiLLah.

Berbicara tentang lafaz BismiLLah pula, ia sebenarnya berkait rapat dengan perbuatan lidah kita namun dalam masa yang sama jika kita hayati dengan baik makna lafaz ini ianya turut menjadi perbuatan bagi hati kita iaitu NIAT. Maka, apabila kita memulakan kerja kita dengan BismiLLah sekaligus melahirkan niat suci kita kepada Allah SWT dan moga-moga ianya dikira ibadat di sisi Allah walaupun pekerjaan yang kita lakukan itu bukanlah ibadat.

Pemisah antara perkara adat dan ibadat adalah niat. Sebagai contoh mudah bersukan . Bersukan bukanlah perkara ibadat tetapi tatkala lidah melafazkan BismiLLah seiring dengan niat di hati untuk beribadat kepada Allah, insyaAllah diterima di sisi Allah. Betapa pemurahnya Allah kepada hamba-hambanya namun kita seringkali lalai dan lupa. Makan kita, minum kita, tidur kita, perbuatan seharian kita seringkali jauh untuk mengingati Allah. Marilah kita sama-sama menghayati doa Iftitah yang kita lafazkan di permulaan solat yang kita tunaikan sehari semalam, ingat kembali janji kita kepadaNya, kembali sedar akan taklifan (tanggungjawab) kita di muka bumi yang fana ini. Firman Allah SWT yang bermaksud:


“ dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
(surah Adz-Dzaariyaat ayat 56)






WaLLahu Ta3ala A3lam Bissowab…

p/s: jikalau terdapat kesalahan sila komen
teguran yang membina saya terima dengan hati yang terbuka
susah nak letak ayat al-quran dalam blog, ade sesape yang pandai tak??

Tiada ulasan:

Catat Ulasan