Sabtu, 13 November 2010

Ketuk hati kita dengan....

Assalamu3alaikum w.b.t
AlhamduliLLah...wassolatu wassalamu 3ala RasuliLLah


Tergerak hati saya untuk membuat posting blog kali ini berkenaan dengan hati. Ya, tentang hati kita semua. Hati yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada setiap insan. Hati yang saya maksudkan di sini bukanlah hati kepada organ dalaman kita yang zahir, ataupun dalam bahasa inggerisnya liver, tetapi tentang hati yang tak dapat dilihat dengan mata kasar. 

Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata tentang perihal hati ini kerana ianya suatu yang batin. Namun, ketahuilah hati adalah anggota tubuh manusia yang paling mulia. Hati terletak di dalam dada. Ia dilindungi dan dikelilingi oleh seluruh anggota tubuh sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang raja. Hati diibaratkan sebagai raja dalam sebuah negeri. Hati jugalah yang memerintah seluruh anggota badan supaya bertindak sesudah mendapat arahan. Tindakan yang dilakukan itu pula akan terbahagi kepada 2; sama ada berupa kebaikan atau kejahatan. Segalanya bergantung kepada hati itu sendiri; baik hati itu maka baiklah amal manakala kalau kotor hati itu buruklah amal.


Situasi ini amat bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang kita semua rindui :

"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."

(Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)

Betapa indahnya agama islam yang dibawa oleh Baginda SAW kepada kita sehingga sehalus-halus perkara yang tak dapat dilihat dengan mata kasar turut dititikberatkan. Namun sehalus-halus perkara inilah apabila tidak dijaga dengan sebaik mungkin akan membawa kerosakan dan kehancuran yang lebih besar lagi.




kenapa hati selalu digambarkan dengan bentuk love ye??saya pun terpengaruh,hehe

Sebenarnya saya tiada niat untuk mengulas panjang pasal hati ini, berbekalkan ilmu yang cetek dan dangkal ini, tak mampu untu saya menceritakan lebih luas tentang makhluk yang dipanggil Hati ini. Sekadar ingin berkongsi sedikit kata-kata dari seorang ulama tasawuf yang terkenal iaitu Sultanul Awliya' Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani. Bila sebut pasal tasawuf semestinya berkaitan dengan hati bukan. Jadi kita masih lagi dalam topik yang berkaitan dengan hati. Di sini saya ingin sarankan agar anda semua membaca kata-kata hikmah di bawah ini dengan mata hati agar kita dapat melembutkan kembali hati kita yang keras dan ego.

Telah berkata Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani:

Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu :
"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku.."

Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku.."

Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku.."

Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak ku ketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku.."

Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku.."

Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk.."

Bagaimana keadaan hati kita setelah membaca kata-kata di atas? Terasa seperti diketuk tak??Kalau tak terasa lagi boleh ditambah lagi. 

Sultan al 'Arifin Abu Yazid al Bustomi juga pernah berkata : selagi mana seorang hamba itu menganggap ada di kalangan makhluk Allah yang lebih teruk dari dirinya maka hamba itu adalah seorang yang takabbur.

Allah...lembutkanlah hati-hati kami Ya Allah...
Sucikanlah hati kami Ya Allah...
Kami tidak layak memakai pakaian keagungan-Mu...
Kami hanyalah hamba yang lemah....

p/s: -Tak rugi kita bersangka baik terhadap insan daripada kita bersangka buruk yang boleh mendatangkan
        dosa.
       -bersikaplah dengan sifat tawadhuk kerana tiada gunanya untuk merasakan diri kita hebat


:
.:Ya muqallibal quluub, tsabbit qulubana 3ala diinik :.


             



Tiada ulasan:

Catat Ulasan